Saturday, 20 August 2016

ASAS TANAMAN - 2.2.6 MEMBERSIH KAWASAN KERJA

ASAS TANAMAN

Pada akhir pelajaran, murid akan dapat:
2.2.6 Membersih kawasan kerja
...............................................................................................................................

MEMBERSIH  KAWASAN KERJA

1.Membersihkan Tapak
Kawasan penanaman perlu dibersihkan daripada sisa akar, rumpai, batu dam benda lain. Benda – benda tersebut perlu dibuang kerana ia boleh mengganggu proses pertumbuhan sayuran sawi. Peralatan untuk membersihkan tapak ialah tajak, pencakar, pongkes. Kerja – kerja membersihkan kawasan penanaman perlu dilakukan seperti yang berikut:

i) Menebas semak samun
Semak samun perlu ditebas dan dibersihkan dahulu apabila penanaman sayuran sawi hendak dibuat semula. Menebas ialah memotong pokok- pokok kecil. Kerja menebas hendaklah dilakukan dengan  cermat kerana menggunakan peralatan yang tajam. Biasanya pekebun sayur akan menyembur racun rumpai yang disyorkan untuk membantu kerja pembersihan rumpai.


ii) Menajak
Menajak ialah aktiviti merumput dengan menggunakan tajak. Menajak bertujuan untuk membersihkan segala rumpai dari kawasan penanaman sayuran sawi. Menajak dilakukan setelah kerja menebas siap dilakukan. Bagi kawasan yang ditumbuhi rumpai yang tidak panjang, menajak boleh terus dilakukan tanpa menebas dahulu.


iii) Mengumpul rumput
Rumpai yang telah ditajak hendaklah dikumpulkan dan dibuang dari kawasan tapak. Pongkes boleh digunakan untuk mengangkut rumpui yang telah dikumpulkan ke tempat pembuangan.

iv) Membuang sampah dan sisa akar
Kawasan atau tapak penanaman perlu bersih daripada unsur-unsur yang tidak dikehendaki seperti kayu, akar pokok, tunggul atau batu. Kerja membuang sampah dan sisa akar ini dilakukan sebelum dan ketika menggembur tanah. Segelintir pekebun sayur membakar tunggul dan akar kayu yang telah dikumpulkan.

2) Menggemburkan tanah
Selepas membersihkan tanah, kerja menggemburkan tanah boleh dilakukan dengan menggunakan cangkul, serampang dan mesin pembajak kecil. Kerja menggembur tanah dilakukan untuk mengurangkan kepadatan tanah dan memecahkan tanah. Menggembur tanah juga dilakukan untuk membaiki pengudaraan tanah dan penyerapan air di dalam tanah. Setelah tanah digembur atau dicangkul, maka ia perlu diratakan. Tanah yang telah digembur hendaklah dibiarkan selama seminggu sebelum ditanam. Hal ini untuk mendedahkannya kepada cahaya matahari. Pancaran cahaya matahari yang terik akan menghapuskan organism tanah yang boleh merosakan sayuran sawi.

Menabur kapur (pengapuran)
Pengapuran dilakukan bertujuan untuk mengurangkan kemasaman tanah supaya sesuai bagi tanaman sayuran sawi. Kapur hendaklah ditabur dan digaul ke dalam tanah selama satu hingga dua minggu sebelum penanaman dilakukan untuk mengurangkan keasidan tanah. Gunakan cangkul untuk menggaul tanah. Biarkan tanah terdedah selama seminggu.

3) Membina batas
Batas boleh dibina setelah tanah digemburkan. Pembinaan batas bertujuan untuk mengelakkan air bertakung dan membaiki pengudaraan di dalam tanah. Pembinaan batas juga dilakukan untuk memudahkan kerja penjagaan seperti merumput, menyiram, membaja serta mengawal perosak. Ukuran batas yang hendak dibina pula mengikut jenis sayuran yang ditanam. Jarak yang biasa digunakan bagi satu batas ke batas lain adalah 45cm – 100cm. Tinggi pula 120 cm dan lebarnya 15cm – 20cm. Batas yang hendak dibina mengikut langkah seperti ini:-

4) Membubuh baja asas dan meletakkan sungkupan
Membubuh baja asas ialah menabur baja pada batas dan menggaulkannya ke dalam tanah. Membubuh baja asas juga dikenali sebagai pembajaan awal. Tujuannya adalah untuk menambahkan kandungan nutrien di dalam tanah. Pembajaan awal biasa menggunakan baja asas atau baja kompos. Baja organik yang biasa digunakan ialah najis ayam, najis kambing dan najis lembu. Manakala baja kompos pula adalah baja yang dibuat dari bahan-bahan organik yang telah mengalami proses pereputan.
Cara membubuh baja asas adalah:
a)   Taburkan baja organik di atas batas yang telah dibina.
b)   Gaulkan baja ke dalam tanah sehingga rata menggunakan cangkul.
 5) Meletakkan sungkupan
Sungkupan bermaksud bahan yang menutup permukaan tanah daripada cahaya matahari yang berlebihan untuk mengelakkan timpaan hujan secara terus. Sungkupan daripada bahan organik seperti kompos, jerami padi, rumput kering dan daun kelapa dapat membekalkan nutrient serta memperbaiki stuktur tanah apabila reput. Manakala sungkupan daripada bahan sintetik pula seperti plastik bersinar dapat membalikkan cahaya pada pokok. Ia  dapat mengawal serangga perosak. Ketebalan sungkupan biasanya lebih kurang 1 – 2cm.



Ehsan dari WordPress: http://jtppismp.com/jtpwp005/5742rbt3/?page_id=73

No comments:

Post a Comment